pages

Saturday, September 11, 2010

GAYONG

                                                     






Pada zaman silam, hanya individu tertentu sahaja yang dapat menamatkan pengajian silat mereka dengan sempurna. Mereka ini sebenarnya telah memiliki sifat-sifat terpuji dan keikhlasan yang tinggi sehingga sanggup berkorban untuk agama, bangsa dan negara tanpa mengutamakan kepentingan diri sendiri. Sifat ini kemudiannya menjadi semakin subur dan terpimpin apabila mereka mendalami pelajaran dan falsafah seni silat. Bagi mereka yang belum mempunyai kualiti sedemikian, melalui seni silat mereka dididik dan diasuh sehingga mencapai tahap tersebut.

Perguruan seni silat pada hakikatnya ialah satu institusi pendidikan di mana manusia dibentuk dan dilentur untuk memiliki ketahanan mental dan fizikal yang maksimum. Pendekatan pendidikan seni silat sebagaimana yang diterangkan di atas merupakan kaedah yang utama oleh Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia. Sesungguhnya, falsafah pendidikan Silat Seni Gayong sejak dahulu lagi dirangka sebegitu rupa untuk melahirkan satu generasi yang berhemah tinggi dan berwawasan bagi memelihara kesucian agama Islam serta memimpin bangsa dan negara ke arah matlamat yang diredhai Allah S.W.T.

Teras pendidikan Silat Seni Gayong pada dasarnya telah disimpul dalam kalimah Gayong itu sendiri:
Ga - mewakili genggam. Genggam bermaksud kepatuhan dan taat seti yang tidak berbelah bahagi kepada ajaran Islam dan amanah Silat Seni Gayong yang telah ditinggalkan al-marhum Dato' Paduka Meor Abdul Rahman, Pendita Agung Gayong.
Alif - mewakili angkat. Ia bererti kewajipan murid-murid Gayong untuk menjunjung kedaulatan Al-Quran dan syariatNya. Di samping itu juga, semua murid Gayong mestilah memelihara segala amanah sebagai murid dan ahli Gayong yang digenggam agar ia terus dihormati dan dipatuhi.
Ya - mewakili yakin. Bahawasanya kita beriman dengan kebenaran Al-Quran dan segala apa yang dilakukan hendaklah bertauhidkan Allah S.W.T. Semua murid dan ahli Gayong juga mestilah yakin dengan kelebihan ilmu yang dipelajari dan hanya menggunakannya untuk kebaikan.
Wau - mewakili waras. Waras dalam ertikata sedar, rasional dan penuh keinsafan atas segala tindakan dan keputusan yang hendak diambil. Ia menggambarkan bahawa seorang murid dan ahli Gayong tidak akan bertindak sesuka hati tanpa memikirkan buruk baik dan akibat sesuatu perkara.
Nga - mewakili ngeri. Ngeri dengan kebesaran Allah S.W.T. dan azab seksaanNya, ngeri dalam melakukan sesuatu perkara atau ketika mempamirkan Silat Seni Gayong dan kengerian yang terhasil apabila satu keputusan terpaksa diambil dalam saat-saat genting.

Lima huruf diatas juga melambangkan lima prinsip asas yang menjadi rukun atau teras agama Islam iaitu mengucapkan dua kalimah Syahadah, menunaikan sembahyang fardhu, berpuasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji di Mekah. Lima huruf yang membina kalimah Gayong itu juga menekankan bahawa seorang murid Gayong itu mestilah menjaga kewajipan mereka sebagai seorang Muslim dengan menegakkan tiang agama iaitu menunaikan sembahyang fardhu lima kali sehari semalam. Pada hakikatnya, kekuatan seorang murid Gayong terpancar daripada keupayaan melaksana segala titah perintah Allah S.W.T. dan menjauhi segala laranganNya.

Apabila wujud segala sifat, penghayatan beserta amalan dalam konsep yang disebutkan diatas barulah dianggap seorang murid Gayog itu benar-benar menuntut dan mendalami ilmu Silat Seni Gayong.